Kamis, 15 September 2011

Selamat Hari Malaysia

Pelbagai yang sudah diperkatakan tentang sambutan Hari Malaysia setiap 16 September berbanding Hari Kebangsaan atau ulangtahun kemerdekaan pada 31 Ogos.

Ternyata selama ini, penghargaan umum terhadap peristiwa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 di mana Sabah dan Sarawak diberi kemerdekaan dari penjajah British melalui penggabungan dengan Malaya, agak hambar.

Di kalangan rakyat Malaysia di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, Hari Malaysia kurang mendapat perhatian sebagai suatu temasya atau sambutan yang diraikan oleh masyarakat umum.

Hanya semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, barulah nampak wujud kesedaran tentang peri penting sebenarnya tarikh 16 September ini terutamanya di kalangan rakyat di Semenanjung.

Atas pemahaman tersebut, tahun ini menuntut kita lebih menghayati signifikan sebenar Hari Malaysia dalam sejarah mahupun konteks kontemporari. Dari satu sudut, penubuhan Malaysia telah menamatkan pembabitan empayar British di Asia Tenggara.

Dalam erti kata lain, campurtangan terus kuasa asing British sejak kurun ke-18 di rantau ini seakan-akan dilenyapkan sekelip mata.

Jika direnung sejenak, perkara itu sahaja sudah cukup mengingatkan kita semua betapa bersejarahnya 16 September 1963.

Memang diakui, jika dikaji, tujuan penggabungan Sabah, Sarawak dan Malaya untuk menubuhkan negara merdeka Malaysia ada berkait dengan isu keselamatan serantau pada waktu itu, dengan ancaman komunis pada tahap yang tinggi.

Kepimpinan Malaya pada ketika itu, diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memastikan kelangsungan negara yang baru bertatih.

Dan penghargaan patut diberikan kepada kepimpinan negara kerana pada dasarnya, Malaysia merupakan satu eskperimen yang berani kerana menyatukan tiga entiti berbeza dari segi sejarah, komposisi etnik mahupun pembangunan ekonomi.

Maka, pada hari ini bilamana kita menyebut tentang perlunya saling menerima dan menghormati perbezaan antara kita, wajarlah kita menyedari bahawa pada asas penubuhan itu sendiri, Malaysia sudah pun berteraskan prinsip kepelbagaian.

Berpaksi kepada prinsip kepelbagaian itu, Hari Malaysia patut mengingatkan kita peri pentingnya membina satu identiti nasional yang menerima perbezaan etnik, agama, warisan – tetapi semuanya berpegang kepada satu masa hadapan yang dikongsi bersama.

Namun, identiti dan pemahaman nasional ini juga perlu merangkumi aspirasi dan kepentingan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, yang mungkin selama ini berasaterpinggir dari persada ekonomi, pembangunan mahupun politik arus perdana.

Oleh itu, semangat Malaysia juga perlu serasi dengan realiti negara kita. Kita perlu memastikan bahawa misalnya, persoalan politik Malaysia bukan semata-mata berkisar kepentingan Melayu, Cina dan India; manakala agenda pembangunan ekonomi bandarnya bukan sekadar tertumpu di Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Bahru.

Usaha ini menuntut anjakan ideologi dan pendekatan dari kedua-dua warga Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Rakyat Malaysia di Semenanjung dan Kerajaan Persekutuan perlu melihat rakyat di Sabah dan Sarawak sebagai saudara se-warga di samping menyemai kesedaran dan mengakui bahawa tuntutan dan keperluan pembangunan sosio-ekonomi di sana lebih tinggi dan harus diutamakan oleh negara.

Dalam pada itu, saya harap rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak juga memberi sumbangan kepada penambahbaikan negara kita secara keseluruhannya. Saya yakin rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan kekal memberi kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, supaya kita sama-sama dapat maju ke hadapan sebagai satu negara-bangsa yang teguh berpadu.

Menjiwai tarikh 16 September ini tidak sama sekali bererti kepentingan Hari Kebangsaan 31 Ogos akan tersusut.

Bagi kami, kedua-dua persitiwa ini berbeza tetapi mempunyai signifikannya yang tersendiri.

Maka, saya menyeru supaya sambutan Hari Malaysia pada masa hadapan akan lebih besar bagi mencerminkan kesedaran ini. Jika perlu, cuti kebangsaan harus diperkenalkan demi mencapai objektif tersebut.

Selamat Hari Malaysia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Comment

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...